
Nilai Sebenar Industri Kreatif Negara - Sinar Harian

Mon 16 Nov 2009, 04:25 pm

Oleh Iwan Shu-Aswad Shuaib
Selasa, 10 November 2009
Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi membangunkan industri kreatif negara seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010, baru-baru ini. Walaupun segelintir pihak menganggap jumlahnya kecil berbanding nilai industri, namun ia menunjukkan keprihatinan kerajaan mengembangkan industri itu. Bagi Sedania Media Group (SMG), pembekal kandungan dan penyelesaian tempatan melihat industri kreatif jauh lebih besar daripada itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Azrin Mohd Noor berkata, secara keseluruhan ia adalah hartanah intelektual, nilai sebenar kepada industri kreatif. "Kalau saya buat satu filem, tetapi satu sahaja. Jika saya menghasilkan satu format, ia masih kreatif tetapi saya turut memiliki hartanah intelektual. "Dengan konsep seperti Who Wants To Be A Millionaire atau Wheel of Fortune, ia mampu berkembang ke negara dan tempoh berbeza," katanya kepada Sinar Harian.
Sejak ditubuhkan lima tahun dulu, SMG adalah syarikat tempatan berasaskan kandungan dan kumpulan media dengan 128 kakitangan dan 14 anak syarikat. Antaranya, Idottv Sdn Bhd, Sedania Travelneeds2u, Clicks Network Sdn Bhd, PT Idottv Indonesia dan Mediaplay Sdn Bhd. Selain Malaysia, SMG turut beroperasi di Indonesia, Bangladesh dan Kemboja.
Lepasi fasa pengukuhan
Azrin berkata, syarikat mencatatkan perolehan lebih RM1 juta pada tahun pertama dan terdapat pertumbuhan perniagaan dari tahun ke tahun. "Selepas lima tahun, syarikat kumpulan berkembang pantas dan melepasi fasa pertama mengukuhkan platform dan perkhidmatan utama. "Berdasarkan perkembangan itu, kami menjangkakan perolehan RM50 juta mampu dicapai menjelang akhir tahun ini," katanya.
Kekuatan asas tersebut akan memberi keupayaan kepada syarikat untuk meneroka 'jajahan' lain lebih meluas. Sebagai contoh, katanya, Malaysia mempunyai penduduk seramai 27 juta orang dan pengguna telefon bimbit kira-kira 20 juta orang. "Dari segi perkhidmatan nilai tambah, kami ketika ini adalah penyumbang utama kepada syarikat telekomunikasi, Celcom. "Namun berdasarkan perkhidmatan yang sama, kami menyediakan kandungan kepada lebih 100 juta pelanggan mudah alih di Indonesia," katanya.
Kemampuan itu menterjemahkan asas kukuh SMG yang sudah bersedia menguasai pasaran berikutan definisi dan perspektif kandungan begitu luas. Menurutnya, seperti penggunaan telefon bimbit, masyarakat menggunakannya untuk membuat panggilan, namun kandungannya begitu banyak. "Oleh itu, kami tidak akan pergi jauh dari perniagaan asas sekarang kerana nilai kandungan sangat tinggi," katanya.
Banyak kandungan dilakukan SMG dari media, mudah alih hingga kepada perbankan dan semuanya melengkapi tawaran dari hujung ke hujung. Azrin berkata, produk dan perkhidmatan berjalan lancar, tidak ada sebab untuk menghentikannya, malah dilihat sebagai platform untuk berkembang. "Jika boleh berjaya di sini, kenapa tidak peroleh lebih daripada itu di negara lain yang mempunyai kependudukan dan pengguna mudah alih tinggi," katanya.
Cabaran kapasiti kewangan
SMG kini menumpukan kepada pembangunan produk baru lebih baik. Mengenai cabaran, Azrin berkata, ia membabitkan kewangan. Perniagaan bermula dari aliran tunai kecil, namun digunakan cermat untuk keperluan modal pusingan. "Peruntukan dan pembiayaan amat diperlukan sekiranya mahu berkembang. Justeru, kami kini mula mendapatkannya secara agresif," katanya. Walaupun beberapa institusi kewangan masih kurang memahami hartanah intelektual, namun SMG bernasib kerana antaranya mulai menyokong perniagaan masa depan itu.
Sebagai peneraju, Azrin berkata, SMG dijalankan secara inovatif berdasarkan perniagaan untuk 'wang masa depan' dengan amalan 'Blue Ocean Strategy'. "Selain pembiayaan, cabaran besar SMG adalah sumber manusia, mungkin disebabkan kami begitu teliti dengan mereka yang bekerja di syarikat ini. "Perniagaan masa depan turut menyukarkan syarikat mendapat bakat-bakat baru dan mengekalkannya bagi memenuhi keperluan itu," katanya.
Mengenai hala tuju, SMG terus mencari dan meneroka peluang baru seperti rangkaian sosial yang dilihat sebagai perniagaan berpotensi besar. Syarikat juga akan menerokai secara meluas dalam kandungan bagi bidang lain seperti gas dan minyak, telekomunikasi, perbankan dan logistik.
Tumpu pasaran luar
SMG akan terus diperkukuhkan bagi semua perkhidmatan di samping mempertingkatkan kapasiti kewangan. Azrin berkata, syarikat bakal membuka cawangan Singapura, Vietnam, Thailand dan Brunei sejajar usaha pengembangan itu.
Bermula tahun depan, syarikat lebih menekankan pasaran luar berikutan pengukuhan pasaran domestik kini berjalan lancar. Tidak dinafikan terdapat ruang untuk pertumbuhan dan peningkatan di Malaysia, tetapi tidak sebesar seperti Indonesia. "Kami akan memperluaskan pasaran negara itu dan banyak lagi boleh diperluaskan di Bangladesh, Vietnam, Thailand dan Filipina," kata Azrin. Pembabitan beliau lebih awal dalam hartanah intelektual menerusi beberapa program antaranya, Roda Impian dan Who Wants To Be A Millionaire.
Menurutnya, format boleh dilakukan dalam banyak platform media dan memerlukan percubaan pelbagai proses untuk mendapatkan yang terbaik. "Cukup sekadar melihat rancangan TV realiti Akademi Fantasia, kerana formulanya berjaya meskipun ia adalah format dari Amerika Selatan. "Kita di sini perlu membayar royalti bagi hartanah intelektual iaitu hak untuk menghasilkan program berkenaan bagi setiap episod," katanya.
Misi lima tahun
Secara peribadi, Azrin berpendapat Malaysia mampu bersaing dalam hartanah intelektual, namun tidak pasti pendedahan dan pemahaman sudah mencukupi. "Ini kerana kebanyakan format dilihat sekadar 'tangkap muat' dan segelintir pemain industri tidak serius mengembangkannya jangka panjang. "Wujud pertikaian mengenai banyak kandungan asing seperti filem Thailand dan Indonesia menembusi Malaysia, namun kita sukar masuk ke sana," katanya.
Ini menyebabkan antaranya tidak berpuas hati, mengeluh dan meminta supaya kandungan dari negara itu disekat masuk. Tindakan itu sebenarnya kurang bijak kerana permintaan untuk melakukan sekatan memperlihatkan kandungan tempatan sentiasa lemah. "Semua pihak sepatutnya menghasilkan lebih banyak kandungan lebih berkualiti supaya produk tempatan juga mampu 'bernafas' di pasaran luar," katanya.
Mengenai misi lima tahun akan datang, SMG menumpukan perolehan dana, pengembangan dan pencapaian syarikat. "Kami juga semakin agresif dengan institusi perbankan dan kewangan supaya mereka benar-benar memahami perniagaan dan rancangan SMG," katanya. Strategi pengukuhan itu juga akan dilakukan dengan meneroka rakan kewangan kukuh bagi menjalinkan kerjasama strategik.
Menurutnya, berdasarkan pengembangan secara global dan agresif memungkinkan syarikat meneraju industri baru pada masa akan datang. "SMG dijadikan sebagai syarikat yang unik dan sentiasa melangkah ke hadapan menguasai sesuatu bidang. "Saya selalu terfikir pencapaian terbaik dengan menghimpunkan mereka yang berbakat dan organisasi 'wang masa depan' untuk semua," kata Azrin.
Source from:
Bisnes & Ekonomi @ Sinar Harian
Selasa 10 November 2009
|
 |
 |
 |
|
Other News

Global Starter Pack (GSP) Program by ST2U
Wed 08 Sep 2010 09:45 am
»
read more

10 percent of GSP sales will be donated to RumahAnak Yatim Amal Kasih Bestari
Thu 02 Sep 2010 04:00 pm
»
read more

SEDANIA Travelneeds2u Eyes 20 New Partnership With Telcos By Year End
Tue 24 Aug 2010 09:11 am
»
read more

MSC Malaysia APICTA Award Applications Up By 40 Per Cent
Fri 13 Aug 2010 10:08 am
»
read more

SEDANIA Travelneeds2u meluncurkan SAFETRIP™, bagi wisatawan
Wed 26 May 2010 12:13 pm
»
read more

Past News and Events

For a complete list of past and present news and events,
click here
|
|
 |
 |
 |
|